
Beliau berkata, kes pertama itu melibatkan pengembara bukan warganegara yang juga merupakan pelajar berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov lalu.
Khairy berkata, pengembara itu telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) KLIA.
“Beliau merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.
“Beliau telah menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) serta menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh,” katanya pada sidang media.
Khairy berkata, semua saringan kepada kontak rapat individu terbabit sudah dijalankan dan keputusannya negatif.
Katanya, pengesanan kontak rapat turut dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang.
“Mereka telah menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib. Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif,” katanya.
Beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif Covid-19 dengan Ct Value 26.68 pada 20 Nov lalu.
Katanya, pelajar terbabit meneruskan kuarantin di rumah sama selama 10 hari dan diberikan pelepasan pada 29 Nov.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata SOP bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak hampir siap dan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, perkembangan kes pertama Omicron itu juga akan diambil kira dalam SOP PRN supaya dapat mengekang penularan Covid-19.
“SOP PRN Sarawak hampir siap dan KKM sedang perhalusi satu dua lagi perkara untuk kita kemukakan pada SPR.
“Tetapi sudah pasti perkembangan terbaru ini, mestilah diambil kira supaya SOP dikemukakan kepada SPR dilihat lebih ketat supaya dapat memastikan bahawa tidak ada penularan sewaktu PRN,” katanya.