
Senarai kerusi yang diumumkan parti itu sebentar tadi mengesahkan PKR tidak akan bertembung dengan sekutunya, DAP, sebagaimana yang dikhuatiri sebelum ini.
Bagaimanapun, PKR akan mengumumkan calon bagi satu atau dua kerusi lagi kelak.
Pengarah Pilihan Raya PKR Sarawak Dominique Ng berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan mereka memberi tumpuan di kawasan “boleh menang”.

“Kami akan fokus kepada kerusi yang berkemungkinan menang berbanding letak calon di kawasan yang kami langsung tiada peluang.
“Antara sebab kami putuskan untuk kurangkan kerusi yang ditandingi adalah kerana kami perlu bersikap realistik,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di Gala City, Kuching.
Dalam pengumuman itu, PKR menyenaraikan Meneng Anak Biris di DUN Opar, Ahmad Nazib Johari (Tupong), Nor Dahlia Esapian Eyau (Satok), Chrishe Ng (Batu Lintang), Mahmud Epah (Asajaya), Michael Sawing (Serembu), Christo Michael (Tarat), Senior William Rade (Tebedu), Piee Bin Ling (Sadong Jaya) dan Abang Abd Kasim Abd Bujang (Lingga).
Selain itu, ia turut menyenaraikan Abang Zulkifli Abang Engkeh (Beting Maro), Patrick Kamis (Saribas), Mikail Mathew Abdullah (Bukit Saban), Satu Anak Anchom (Ngemah), M Fauzi @ Joseph Usit (Machan), Mohd Arwin Abdullah (Telian), Abdul Ajil Bujang (Balingian), Joshua Jabeng (Kakus).
Calon lain membabitkan Munan Anak Laja (Katibas), Anie Amat (Murum), Norhafizah Johari (Bekenu), Zolhaidah Suboh (Lambir), Elias Lipi (Marudi), Philip Jau Ding (Telang Usan), Roland Engan (Mulu), Racha Balang (Batu Danau) dan Martin Samuel Labo (Ba’Kelalan).
Pada PRN lalu, PKR menang tiga kerusi DUN, iaitu Batu Lintang menerusi See Chee How, Krian (Ali Biju) dan Ba’kelalan (Baru Bian).
Malangnya, ketiga-tiga pemimpin ini keluar PKR dan menyertai Parti Sarawak Bersatu, iaitu See dan Baru, manakala Ali menyertai Bersatu.