
Ini berikutan keputusan panel tiga hakim hari ini yang diketuai hakim Mahkamah Rayuan Hanipah Farikullah yang membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap rayuan Rosmah.
Hanipah dalam keputusan sebulat suara berkata, panel hakim itu bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberikan pelepasan pengisytiharan yang dipohon Rosmah selaku perayu.
“Kami berpandangan bahawa pelepasan itu mesti termasuk dalam perkara yang dibenarkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Bagaimanapun, tiada sebarang peruntukan di dalam CPC yang memberikan kuasa dan bidang kuasa kepada Mahkamah Tinggi melaksanakan prosedur jenayahnya untuk memberikan perintah pengisytiharan.
“Berdasarkan alasan itu, kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi dalam menjalankan prosedur jenayah tidak mempunyai bidang kuasa dan kuasa untuk memberikan pengisytiharan yang dipohon perayu.
“Oleh itu, kami membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan dan rayuan perayu ditolak,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah tidak boleh meneruskan untuk mendengar merit rayuan itu.
Dua hakim lain dalam panel itu ialah M Gunalan dan Hashim Hamzah.
Panel hakim itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan Sri Ram dan peguam Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah yang mengenakan baju kurung putih dan merah jambu.
Sebelum perbicaraan bermula, Jagjit memohon maaf bagi pihak Rosmah kepada mahkamah kerana tidak hadir di mahkamah pada prosiding Khamis lepas.
“(Kami) mewakili perayu menzahirkan permohonan maaf kepada Yang Ariff atas ketidakhadirannya pada prosiding minggu lepas. Beliau dengan ikhlas hati memohon maaf,” kata peguam itu.