
Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan suruhanjaya itu mengesan pegawai berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak polis lewat petang semalam.
“SPRM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah.
“Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, dua suspek, termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan kerana disyaki terbabit rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur membabitkan kerugian hampir RM1 juta.
Dalam kejadian 12 tengah hari kelmarin, tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah agensi penguat kuasa memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an.
Menurut sumber yang dipetik Harian Metro, suspek mendakwa sedang menyiasat mangsa, lalu menggeledah rumah dan meminta mangsa mengambil beg berisi wang tunai.