Sabah sasar tanam 36 juta pokok hingga 2025

Sabah sasar tanam 36 juta pokok hingga 2025

Setakat ini hampir 4.5 juta pokok ditanam di seluruh Sabah.

Hajiji Noor (tengah) melancarkan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Jabatan Ketua Menteri)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah menyasarkan kira-kira 36 juta pokok ditanam sebagai sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia selama lima tahun hingga 2025.

Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata hampir 4.5 juta pokok ditanam di seluruh negeri itu setakat ini.

“Inisiatif berkenaan sebagai komitmen bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.

“Kita memberi jaminan mengurangkan kesan perubahan iklim bakal menjadi agenda utama kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 di sini.

Persidangan dua hari secara hibrid itu diadakan melalui aplikasi Zoom serta YouTube anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Program Penyelidikan Hutan Hutan Asia Tenggara (SEARRP) bersama Petronas sebagai penaja utama.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan Sabah telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon.

Katanya, komitmen itu sejajar dasar Sabah mengenai alam sekitar serta aspirasi negara, terutamanya dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim.

“Perubahan iklim salah satu aspek utama di dalam dasar dan kami komited mengambil semua langkah perlu bagi memastikan kualiti udara Sabah tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.