Sidang Dewan Rakyat dilanjut hingga Isnin untuk bahas pindaan Akta 342

Sidang Dewan Rakyat dilanjut hingga Isnin untuk bahas pindaan Akta 342

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berkata, notis lanjutan sidang itu akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat sepatutnya berakhir hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehari ke Isnin depan, kata Speaker Azhar Harun.

Katanya, masa tambahan itu adalah bagi membahaskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk meningkatkan kadar penalti bagi pengingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Notis akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen,” kata Azhar di Dewan Rakyat.

Lanjutan sehari itu menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa wakil pembangkang, antaranya Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.

“Kita telah atur jadual di kawasan kita, apa salahnya rang undang-undang (RUU) ini dibawa ke sidang akan datang. Kenapa nak kelam kabut seolah-olah RUU ini dibincang di kedai mamak? Ini menunjukkan kerajaan gagal,” kata Mahfuz.

Ma’mun pula berkata, lanjutan itu sepatutnya dimaklumkan lebih awal memandangkan wakil rakyat dari Sabah sepertinya menempah tiket untuk pulang ke kawasan lebih awal.

Rayer bagaimanapun mencelah dengan berkata: “Saya cadangkan kalau RUU ini perlu dipinda dan tak teratur, saya cadang menteri tarik balik dan bincang semula RUU ini.”

Azhar kemudiannya menjelaskan kuasa melanjutkan sidang Dewan Rakyat terletak di tangan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selaku ketua majlis.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bangkit menjelaskan keputusan melanjutkan sidang itu bukan dibuat sebelah pihak sahaja, sebaliknya ia telah dibincangkan pihaknya bersama Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta wakil parti politik.

Katanya, lanjutan itu juga bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membincangkan beberapa penambahbaikan, sebelum RUU itu dibentang di Parlimen untuk pindaan.

“Sepanjang hari ini, pagi tadi hingga tengah hari memang ada proses libat urus membabitkan Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pimpinan parti yang kemudian dirujuk kepada Perdana Menteri tentang keperluan menangguhkan pembentangan RUU ini bagi memberi ruang perbincangan dengan semua pihak supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dapat bersidang sebelum dikemukakan beberapa cadangan dan pindaan lain.

“Oleh demikian, dalam rundingan itu tadi, dipersetujui supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bersidang 8 pagi dan Parlimen bersidang 10 pagi (pada Isnin). Kalau perkara dibangkitkan disepakati, mungkin kita menyokong pindaan RUU itu, tapi kalau tiada kesepakatan, kita akan terus menolak.

“Ini (tambahan sehari sidang) bukan keputusan satu pihak, ia dipersetujui semua yang berbincang, sebab itu ia ditangguh sehingga Isnin,” katanya yang menyaksikan tiada lagi Ahli Parlimen pembangkang bangkit menyuarakan rasa tidak puas hati.

Sementara itu, Khairy turut membawa usul supaya RUU itu yang berada dalam aturan mesyuarat kedua sidang hari ini ditangguh untuk dibentang bagi bacaan kali kedua dan ketiga pada Isnin depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.