
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, perjanjian seperti itu hanya akan meningkatkan populariti kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus menjejaskan imej PH Sabah.
“Lebih baik PH Sabah meninggalkannya. Lagipun DAP dan Warisan juga tidak mahu mengambil bahagian,” katanya.
Beliau berkata, DAP Sabah mungkin sedar popularitinya akan terjejas jika meneruskan cadangan MoU dikenali sebagai Agenda Reformasi Sabah (SRA) itu yang mencontohi persetujuan PH dengan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di peringkat persekutuan.
Katanya, DAP nampaknya percaya bahawa kerjasama itu akan menyebabkan PH Sabah “terikat” dengan GRS dan akan menghalang mereka daripada menjadi pembangkang yang efektif.
DAP membuat keputusannya itu pada Ahad. Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe berkata, parti itu percaya tiada keperluan untuk mengadakan sebarang kerjasama dengan GRS kerana gabungan pemerintah itu mendapat majoriti yang selamat.
Ini berbeza dengan situasi di Dewan Rakyat dengan kerajaan Ismail hanya mempunyai majoriti kecil.
Pada 15 November lalu, DAP bersama PH Sabah mengemukakan agenda reformasi yang mengandungi tujuh syor untuk membentuk kerjasama itu kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.
Pengerusi PH Negeri Christina Liew berkata, beliau tidak tahu mengenai keputusan DAP itu dan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada parti berkenaan.
PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu).
Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata, SRA yang bertujuan mencapai kestabilan politik itu tidak akan menjadi signifikan tanpa penyertaan Warisan.
Katanya, beliau percaya rakyat juga tidak percaya kerjasama itu diperlukan kerana kestabilan politik Sabah bergantung kepada situasi politik di Semenanjung.