
PETALING JAYA: Empat sukarelawan parti MUDA disahkan positif Covid-19, kata kenyataan parti itu, hari ini.
Sukarelawan berkenaan bertugas di ibu pejabat koordinasi bantuan banjir MUDA.
“Satu kes positif dikesan melalui ujian air liur sebelum memasuki premis. Tiga kes lain dikesan menerusi ujian pengesanan RTK di klinik,” kata kenyataan itu lagi.
Katanya, semua kakitangan dan sukarelawan diwajibkan menjalani ujian pengesanan kendiri sebelum dibenarkan masuk ke ibu pejabat.
Kata kenyataan itu lagi, pihak pengurusan sedang menjalankan ujian PCR dan RTK kepada semua kakitangan di ibu pejabat dan keputusannya akan dikeluarkan pada tengah hari, esok.