
Kontraktor, Mohammad Ambree Yunos, 40, bersama isterinya, yang juga jurutera dan bekas finalis MasterChef, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulang, 33, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Jessica Ombou Kakayun.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, di rumah pasangan berkenaan di sebuah kondominium di Jalan Lintas Lido, di sini, antara 10 hingga 13 Dis lalu.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Irwan Suainbon dan Timbalan Pendakwa Raya, Ali Imran manakala Mohammad Ambree diwakili peguam Ram Singh dan Kimberly Yee manakala Etiqah pula diwakili peguam Rakbir Singh.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu ditahan sehingga kes mereka selesai serta menetapkan 10 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pasangan berkenaan ditahan 14 Dis lalu, sehari selepas mereka membuat laporan polis mendakwa menemui pembantu rumah mereka di atas lantai di kondominium mereka selepas balik daripada bercuti di Kundasang, Ranau.
Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 21 Dis lalu.