Naikkan BWI kepada RM10,000, bantuan waris RM50,000, kata Pemuda PKR

Naikkan BWI kepada RM10,000, bantuan waris RM50,000, kata Pemuda PKR

Kerajaan turut digesa menyediakan bantuan khas buat peniaga kecil, petani dan penternak yang mengalami kerugian dan hilang pendapatan.

Naib Ketua Pemuda PKR, Thiban Subramaniam mendakwa kerosakan atau kerugian ditanggung mangsa banjir mencecah sekurang-kurangnya RM30,000 hingga RM50,000.
PETALING JAYA:
Pemuda PKR menggesa kerajaan menaikkan bantuan wang ihsan (BWI) daripada RM1,000 kepada RM10,000 selepas mengambil kira situasi “kehilangan total” dialami mangsa banjir.

Naib Ketuanya, Thiban Subramaniam berkata bantuan kepada keluarga waris korban banjir pula perlu dinaikkan kepada RM50,000 berbanding RM10,000 untuk membantu memulihkan kehidupan mereka.

“Saya menggesa kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob menaikkan BWI kepada mangsa banjir daripada RM1,000 kepada RM 10,000. Ini kerana mangsa banjir berhadapan situasi ‘total lost’ dan terpaksa memulakan semuanya dari 0. Apakah bantuan wang ihsan RM1,000 itu memadai?

“Kerajaan juga harus menyediakan bantuan khas buat peniaga kecil, petani, penternak yang mengalami kerosakan serius dan hilang pendapatan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Thiban mendakwa kerosakan ataupun kerugian ditanggung setiap keluarga mangsa banjir mencecah sekurang-kurangnya RM30,000 hingga RM50,000, tanpa mengambil kira kerugian ditanggung usahawan kecil, pemandu lori, petani dan penternak.

“Apakah bantuan yang diumum Ismail itu realistik untuk bantu mereka? Kerajaan Ismail tidak boleh melepaskan tangan begitu sahaja. Ini bukan bala dari tuhan, ini berpunca daripada kegagalan kerajaan Ismail menangani bencana banjir besar ini.”

Beliau turut menyifatkan kenyataan Ismail bahawa keluarga mangsa banjir akan menerima bantuan sehingga RM10,000 sebagai langkah pemulihan pasca banjir sebagai “kenyataan manis mulut” semata-mata.

Katanya, tragedi banjir melanda dapat dielakkan jika usul dibentang Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pada Julai lalu berhubung persiapan menghadapi fenomena banjir diambil serius kerajaan.

“Jika kerajaan Ismail masih gagal berbuat demikian, maka saya ingin memohon Ketua Pembangkang,Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Harapan membatalkan MoU dengan kerajaan. Apa gunanya ada kerajaan yang tidak mampu menyelamatkan rakyat?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.