
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata kelakuan ahli politik itu sendiri menyebabkan orang ramai berpakat sesama sendiri.
“‘Rakyat menjaga rakyat’ semakin membesar disebabkan wujud kesukaran untuk mengurus persepsi ke atas pemimpin,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah rakyat berhak rasa kecewa apabila pemimpin yang diharapkan gagal mengurus musibah dengan efisien.

“Orang ramai merasakan rakyat boleh bergantung antara satu sama lain,” tambahnya.
Sivamurugan berkata ahli politik tidak boleh menyalahkan rakyat yang sentiasa menilai tindak-tanduk mereka.
“Mereka harus berhati-hati supaya kewibawaan mereka tidak tercalar,” katanya.
Prestasi kerajaan menangani bencana banjir yang melanda beberapa negeri minggu lalu dikritik orang ramai, yang membandingkan respons ahli politik dengan usaha sukarelawan pelbagai kaum, agama dan fahaman politik.
Sekurang-kurangnya 47 maut dalam bencana yang disifatkan antara terburuk pernah melanda negara.
“Apa yang berlaku pada waktu banjir ini harus dijadikan iktibar oleh pihak berautoriti, berkepentingan, dan semua yang terlibat bagi memastikan ada pengajaran daripada musibah itu,” tegasnya.
Beliau menggesa semua pihak fokus memulihkan keyakinan rakyat kerana keberkesanan sistem penyampaian akan terkesan sekiranya kepercayaan orang ramai berterusan terhakis.
“Sedangkan kita ada sistem penyampaian yang baik, cuma ketika musibah terjadi, koordinasi diakui agak lewat dan menimbulkan pelbagai isu sampingan.
“Sekarang tidak ada gunanya kita (ahli politik) menuding jari,” katanya.