Gagal seberang sungai, warga emas maut dibawa arus

Gagal seberang sungai, warga emas maut dibawa arus

Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 60 tahun itu cuba menyeberang Sungai Liningkung, Telupid ketika menuju ke rumahnya yang hampir ditenggelami air

Mangsa ditemui penduduk kampung tidak jauh dari lokasi beliau hanyut dalam keadaan tidak sedarkan diri.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut akibat dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang Sungai Lininkung di Telupid, Sabah dalam perjalanan pulang ke rumahnya pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran Kasim Muda berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 60 tahun menuju ke rumahnya yang hampir ditenggelami air.

“Beberapa penduduk kampung kemudiannya menemui lelaki terbabit tidak jauh dari lokasi dia hanyut dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Berita Harian.

Kasim turut menasihatkan orang ramai di daerah itu supaya sentiasa peka dengan situasi semasa dan mengelakkan diri daripada melalui kawasan yang ditenggelami air.

Kejadian itu menjadikan kes kematian akibat banjir di Sabah meningkat kepada tiga orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.