Kabinet Sarawak tak statik, boleh ubah ikut keadaan, kata Abang Jo

Kabinet Sarawak tak statik, boleh ubah ikut keadaan, kata Abang Jo

Katanya, beliau bersedia melakukan sebarang perubahan kepada barisan Kabinet negeri itu mengikut keperluan semasa.

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, Kabinet akan diselaraskan dengan apa yang harus dilaksanakan, tetapi yang penting adalah untuk melaksanakan janji.
PETALING JAYA:
Kabinet Sarawak yang diumumkan baru-baru ini bukanlah bersifat statik yang tidak boleh diubah, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Katanya, beliau bersedia melakukan sebarang perubahan kepada barisan Kabinet negeri itu mengikut keperluan serta keadaan semasa.

“Sudah tentu Kabinet ini tidak statik, ia akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keadaan tertentu.

“Kami akan menyelaraskan semula (Kabinet) dengan apa yang harus kami laksanakan (pada masa itu) tetapi apa yang penting kami kena laksanakan janji,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis malam apresiasi petugas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) di Kuching.

Pada 30 Dis lalu, Abang Johari mengumumkan senarai Kabinet baharu Sarawak yang terdiri daripada 10 Menteri dan 26 Menteri Muda.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata pemilihan barisan Kabinet itu dibuatnya selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuk faktor komposisi parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), kawasan serta etnik.

“Kami ada 34 perkara dalam manifesto pilihan raya GPS yang harus kami laksanakan. Sebab itu dalam menubuhkan Kabinet ini, kami juga ambil kira bagaimana kami boleh sama-sama tunaikan janji ini,” katanya.

GPS yang diterajui Abang Johari memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri Sarawak 18 Dis lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.