Azam tuntut permohonan maaf, ganti rugi RM10 juta daripada ‘whistleblower’

Azam tuntut permohonan maaf, ganti rugi RM10 juta daripada ‘whistleblower’

Lalitha Kunaratnam diberikan tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menuntut ganti rugi RM10 juta daripada pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam yang mendedahkan isu pemilikan saham. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemberi maklumat, Lalitha Kunaratnam, menerima surat tuntutan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki, berhubung penerbitan dua artikel membabitkan pembelian saham.

Lalitha juga dituntut mengeluarkan permohonan maaf terbuka dalam tempoh 14 hari, selain memadamkan artikel berkaitan Azam dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana mencemarkan reputasinya.

Peguam Azam berkata, jika Lalitha gagal berbuat demikian, mereka akan membawa kes berkenaan ke mahkamah kerana fitnah.

Artikel ditulis Lalitha diterbitkan Independent News Service, atau INS, pada Dis.

Lalitha Kunaratnam.

Dalam ciapan di Twitternya hari ini, beliau menyatakan menerima notis guaman daripada bos SPRM itu.

“Terima kasih,” katanya dalam ciapan ringkas itu.

Lalitha turut memuatnaik tangkap layar surat tuntutan terbabit yang mana menuntut laporan itu dihenti dan tidak lagi dikeluarkan membabitkan dua artikel berjudul:

“Business ties among MACC leadership: How deep does it go? (Part 1)” dan “Business ties among MACC leadership: How deep does it go (Part 2)”.

FMT sudah menghubungi dan sedang menunggu maklum balas Azam.

Dalam pada itu, ahli ekonomi Edmund Terence Gomez, menyatakan rasa terkejut berhubung surat tuntutan dikemukakan Azam terhadap Lalitha, yang mengemukakan persoalan munasabah berhubung kepentingan negara.

Terence menggambarkan tindakan Azam sebagai ugutan dan mendesak beliau menarik balik notis itu.

“Apa Azam perlu lakukan adalah secara terbuka mendedahkan semua kepentingan perniagaannya bagi melindungi imej dan integriti SPRM,” katanya dalam kenyataan.

“Jika pemberi maklumat diugut oleh mereka yang berkuasa, bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan dalam menggerakan rakyat mendedahkan rasuah, dan melindungi mereka kerana melakukan perkara itu?” soalnya.

Semalam, Azam berkata, beliau akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang didakwa mahu mencemarkan reputasinya.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) “membersihkan” Azam daripada sebarang salah laku berhubung pembelian dan pemilikan saham korporat pada 2015. Azam mendedahkan, bahawa beliau sukarela membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangan miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.