
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Thomas menulis kepada pengerusi pasukan berkenaan, Fong Joo Chung, bahawa beliau tidak akan bekerjasama dalam siasatan berhubung dakwaan melibatkan isu pelantikan hakim, campur tangan berlebihan oleh cabang eksekutif kerajaan dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih.
“Tommy sendiri yang bongkarkan isu-isu ini dalam bukunya. Sendiri bocor, sendiri meroyan pulak apabila kerajaan mahu siasat,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Dalam surat dilihat FMT, Thomas memberitahu Fong, beliau tidak berhasrat untuk bekerjasama atau mengambil bahagian dalam siasatan pasukan itu membabitkan bukunya.
Beliau berkata, pasukan itu menetapkan duluan berbahaya dan akan merisikokan kebebasan Peguam Negara.
“Saya perlu melindungi penyandang dan bakal Peguam Negara dan semua pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mesti boleh mengambil keputusan menuduh demi kepentingan terbaik rakyat, tanpa ketakutan atau pilih kasih,” katanya.
“Penyertaan saya dalam pasukan petugas khas akan mengesahkan tujuannya yang tidak berperlembagaan dan akan menetapkan duluan berbahaya yang akan memudaratkan mereka. Ini bercanggah dengan kepentingan awam.”
Thomas berkata, menurut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
“Berdasarkan Perkara 145(3), Peguam Negara sebagai pendakwa raya diberi kuasa atas budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri, atau mahkamah tentera,” katanya.
Tambahnya, pendakwa raya juga tidak bertanggungjawab kepada Jemaah Menteri, atau yang lain dalam cabang eksekutif berkenaan keputusan mengenai pendakwaan.
Kata Thomas lagi, penubuhan dan kewujudan pasukan petugas itu “tanpa sebarang asas undang-undang atau preseden (duluan)”.
Beliau juga berpandangan bahawa dengan Fong sebagai bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan berpangkat lebih rendah daripada Peguam Negara, beliau tidak dihakimi oleh sebayanya.
Pada 8 Dis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa Fong, yang juga Penasihat Undang-undang Negeri Sarawak, akan mengetuai pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk meneliti dakwaan dibuat Thomas dalam bukunya.
Beliau berkata, polis juga pada masa sama akan menyiasat dakwaan itu.
Wan Junaidi berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri dan AGC akan bertindak sebagai sekretariat bagi jawatankuasa itu.
Pegawai khas lain termasuk bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Hashim Pijan, bekas Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Junaidah Kamaruddin, bekas hakim dan Peguam Kanan Persekutuan AGC Jagjit Singh, serta wakil daripada kementerian dan jabatan berkaitan.
Dilaporkan juga pasukan itu mengadakan mesyuarat pertamanya pada 23 Dis lepas.
Wan Junaidi berkata, pasukan petugas itu akan mengemukakan penemuan dan cadangannya kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelantikannya.