Saham Azam Baki: Polis sahkan terima laporan, kes dirujuk pada SC

Saham Azam Baki: Polis sahkan terima laporan, kes dirujuk pada SC

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan berkata laporan polis itu melibatkan Azam membenarkan adiknya menggunakan akaun untuk membeli saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan mengesahkan laporan polis telah dibuat berkaitan isu itu.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan telah menerima laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Dalam kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan berkata, laporan itu melibatkan pendedahan Azam bahawa beliau membenarkan adiknya menggunakan akaunnya untuk membeli saham.

“Laporan polis telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu tidak menyatakan sama ada polis akan menyiasat perkara itu, walaupun Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata Azam kini disiasat SC dan polis.

Kenyataan Wan Junaidi itu susulan pendedahan mengenai pemilikan saham oleh Azam, Disember lalu.

Ini kemudian mencetuskan kritikan terhadap Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) apabila membersihkan Azam dalam perkara itu, selain mengatakan pembelian saham oleh adiknya Nasir bukan satu konflik kepentingan.

Azam turut memberitahu media beliau membenarkan adiknya itu menggunakan akaun dagangannya pada 2015.

Enam anggota LPPR kemudian menjauhkan diri daripada kenyataan Pengerusinya Abu Zahar Ujang yang membersihkan Azam, dengan mendakwa Abu Zahar sekadar memberikan pandangan peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.