
Menurut sumber, lelaki berumur 61 tahun yang sepatutnya dibebaskan daripada tahanan reman hari ini, ditahan semula di pejabat SPRM Johor bersama dua anak lelakinya masing-masing berumur 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, sekitar Disember tahun lepas, lelaki berkenaan yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat, telah memberikan beberapa kerja kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.
Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Kesemua lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok, bagi permohonan reman.
Pada 5 Jan lepas, bekas pengurus syarikat GLC berkenaan bersama seorang pengurus syarikat lain, ditahan untuk membantu siasatan berkenaan kes rasuah melibatkan nilai kira-kira RM500,000, tiga tahun lepas.