Banjir: Singapura sedia hulur bantuan lanjut ke Malaysia

Banjir: Singapura sedia hulur bantuan lanjut ke Malaysia

Menteri Hal Ehwal Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen mengenai banjir di Malaysia.

Singapura bersedia menghulurkan bantuan lanjut kepada Malaysia susulan banjir baru-baru ini, kata Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan. (Gambar Bernama)
SINGAPURA:
Singapura bersedia untuk memberikan sebarang bantuan lanjut kepada Malaysia susulan kejadian banjir baru-baru ini, kata Menteri Hal Ehwal Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.

“Kami bersedia untuk memberikan sebarang bantuan lanjut jika Malaysia memerlukannya,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen mengenai banjir di Malaysia, hari ini.

Dr Balakrishnan ditanya sama ada terdapat usaha oleh kerajaan Singapura untuk menghulurkan sebarang jenis sokongan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir.

Dalam jawapannya, beliau mengulangi bahawa Singapura “berdiri teguh bersama Malaysia pada waktu yang sukar ini”.

Menteri itu memaklumkan bahawa beliau mengutus surat kepada rakan sejawatannya, Saifuddin Abdullah, pada Disember 2021 untuk mengucapkan takziah dan menawarkan bantuan Singapura.

Pada 22 Dis, Balakrishnan berkata kerajaan Singapura turut menyumbang USD60,000 (RM251,000) sebagai bantuan awal menyokong usaha pungutan dana Palang Merah Singapura untuk membantu pemulihan bencana di Malaysia serta Filipina, yang terjejas akibat Taufan Rai.

Sumbangan kerajaan Singapura menambah ikrar Palang Merah Singapura sebanyak USD50,000 (RM209,000) kepada Bulan Sabit Merah Malaysia, yang disumbangkan untuk penggunaan penjagaan kesihatan kecemasan dan pengagihan bekalan bantuan ke pusat pemindahan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.