ADUN dinasihat jadi contoh, teladan kepada rakyat, kata MB Perak

ADUN dinasihat jadi contoh, teladan kepada rakyat, kata MB Perak

Menteri Besar Saarani Mohamad, berkata menjadi kewajipan ADUN mematuhi undang-undang negara, baik dari kem kerajaan mahupun pembangkang kerana mereka adalah penggubal undang-undang.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga menjadi rujukan kepada komuniti di kawasan masing-masing.
IPOH:
Mana-mana individu yang dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), walau dari parti mana sekalipun, perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada rakyat, kata Menteri Besar Saarani Mohamad.

Beliau berkata, ia termasuk kewajipan mematuhi undang-undang negara, baik dari kem kerajaan mahupun pembangkang, kerana mereka adalah penggubal undang-undang, selain menjadi rujukan kepada komuniti di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Ejen Mengundi, Ejen Pengira dan Ejen Barong (PACABA) serta Pelancaran Sukarelawan Sabil Negeri Perak, yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, di sini.

Menteri Besar itu berkata demikian bagi mengulas kes seorang ADUN negeri ini yang ditahan kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang, Khamis lalu.

Beliau berkata, kes itu diserahkan kepada pihak berkuasa dan sebarang tindakan akan ditentukan setelah siasatan kes selesai dijalankan oleh pihak polis.

Semalam, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam kenyataan, berkata ADUN berkenaan perlu memberi laporan bertulis berhubung penahanannya dalam serbuan itu, supaya pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat dimaklumkan mengenai situasi sebenar yang berlaku.

“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat, bahawa DAP memandang berat soal kelakuan, karakter, dan integriti wakil rakyatnya dan mereka seharusnya menjadi contoh kepada orang ramai, yang diberi kepercayaan untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Nga berkata, pihaknya telah menghubungi ADUN itu dan mengesahkan bahawa dia ditahan Khamis lepas, dan dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.