Tiada keperluan bubar DUN Johor, rakyat tak suka, kata Peja

Tiada keperluan bubar DUN Johor, rakyat tak suka, kata Peja

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, sekiranya pembubaran berlaku, Bersatu terpaksa menyertai PRN Johor.

Ahmad Faizal Azumu berkata, kerjasama Bersatu-BN bagi menghadapi kemungkinan PRN Johor masih terlalu awal untuk diputuskan.
PETALING JAYA:
Tiada keperluan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan, kata Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu, katanya, tidak sesuai untuk mengadakan PRN Johor ketika ini.

“Jika DUN Johor dibubarkan, tentu ia perkara yang tidak begitu digemari orang ramai. Justeru, saya berpandangan mungkin tiada keperluan untuk perkara itu (PRN).

“Namun, jika ia tetap berlaku, kami terpaksa ambil bahagian dalam PRN itu nanti,” katanya dipetik Sinar Harian ketika menyertai satu acara di Pagoh, Muar.

Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan mengulas keadaan politik di Johor selepas timbul khabar angin berhubung PRN Johor tidak lama sejurus kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Osman Sapian, daripada Bersatu pada 21 Dis lalu.

Pemergian Osman menyebabkan kerajaan negeri memerintah hanya dengan kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi terdiri daripada Umno dan DAP masing-masing memiliki 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Mengenai kerjasama Bersatu-Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi kemungkinan PRN Johor, Faizal berkata, ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Ketika ini, katanya, tumpuan yang harus diberikan keutamaan oleh semua pemimpin politik adalah membantu rakyat berdepan musibah, termasuk pasca banjir.

“Di peringkat persekutuan, kami semua bekerja dengan baik dan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri. Mungkin ada segelintir pemimpin yang fikir perlu ada perpecahan supaya menguntungkan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.