Saman gangguan bekalan air: Putrajaya bantah serah dokumen

Saman gangguan bekalan air: Putrajaya bantah serah dokumen

Kerajaan turut menyifatkan usaha Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan 809 penduduk untuk mendapatkan dokumen berkenaan sebagai satu cubaan 'memancing' maklumat.

Pencemaran di Sungai Gong mengakibatkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 1.2 juta isi rumah pada September 2020. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan enggan menyerahkan dokumen berkaitan siasatan terhadap pencemaran Sungai Gong pada 2020, dalam saman secara ‘class action’ yang turut melibatkan beberapa pihak lain.

Ia turut menyifatkan usaha Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew dan 809 penduduk untuk mendapatkan dokumen yang relevan sebagai satu cubaan “memancing” maklumat.

“Ini sekadar taktik oleh plaintif untuk mendapatkan dokumen dan membina kes mereka. Kami akan mendedahkan dokumen yang relevan apabila perbicaraan bermula,” katanya dalam afidavit membantah permohonan Tan dan penduduk berkenaan.

Sebagai tambahan, kerajaan persekutuan berkata beberapa butiran yang diminta Tan dan penduduk terlibat telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), seterusnya permohonan berkenaan disifatkan penyalahgunaan proses mahkamah.

Tan dan penduduk berkenaan memohon mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak berkuasa untuk perbicaraan yang bakal berlangsung di Mahkamah Tinggi berkaitan gangguan bekalan air.

Antara dokumen yang dimohon termasuk berkaitan pemeriksaan di kilang-kilang di sekitar Sungai Gong, dokumen perbicaraan berkaitan kes mahkamah terhadap pengarah dan pengurus bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd, selain laporan rasmi bagi pencemaran Sungai Gong pada 3 Sept 2020.

Mereka memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada April tahun lalu terhadap bengkel itu, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan susulan gangguan bekalan air selama empat hari di Lembah Klang.

Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bengkel berkenaan sebagai pihak yang bertanggungjawab atas kecuaian dan mengisytiharkan bahawa pihak berkuasa awam termasuk negeri dan persekutuan melanggar tugas statutori dalam mengekalkan tahap kualiti air.

Mereka juga menuntut ganti rugi akibat kesukaran dan penderitaan sepanjang gangguan air berlaku.

Turut dinamakan sebagai defendan, Menteri Besar Selangor; Majlis Perbandaran Selayang (MPS); Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Defendan daripada kerajaan persekutuan adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Majlis Kualiti Alam Sekitar; Jabatan Alam Sekitar; dan Menteri Alam Sekitar dan Air. Air Selangor serta syarikat Pakar Scieno TW Sdn Bhd juga dinamakan dalam tuntutan itu.

Mahkamah belum menetapkan tarikh untuk prosiding itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.