Guna pemulihan, bukan undang-undang tegas tangani buli siber, kata aktivis

Guna pemulihan, bukan undang-undang tegas tangani buli siber, kata aktivis

Aktivis hak kanak-kanak berkata buli siber harus ditangani menerusi pemulihan dan bukan hukuman.

Malaysia pada 2020 menduduki tempat kedua dalam kegiatan buli siber di kalangan remaja di Asia, lapor Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak kanak-kanak mendesak supaya buli siber ditangani menerusi pemulihan dan bukannya dengan cara memberi hukuman.

Bercakap kepada FMT, James Nayagam menggelarnya sebagai “sistem pemulihan”, satu pendekatan yang memulihkan pesalah menerusi mediasi.

“Dalam sistem ini, pembuli dan mangsa akan bersemuka dan bercakap mengenai apa yang telah dilakukan oleh pembuli dan bagaimana ingin menyelesaikannya,” katanya.

Nayagam menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keadilan juvana pada 2016.

Katanya, Singapura, Australia dan New Zealand antara negara yang bersetuju pada persidangan itu bahawa keadilan pemulihan lebih berfungsi berbanding keadilan jenayah.

Pada 2020, Malaysia menduduki tempat kedua dalam kegiatan buli siber di kalangan remaja di Asia, lapor Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Nayagam berkata beliau telah beberapa kali menggunakan pendekatan pemulihan untuk menyelesaikan kes jenayah juvana.

Katanya, paling diingatinya ialah kes buli siber yang pernah diselesaikan lima tahun lalu.

“Saya dipanggil ke sebuah sekolah untuk membantu menyelesaikannya. Saya berbincang dengan kedua-dua pihak dan kemudiannya, pembuli meminta maaf. Saya juga berbincang dengan ibu bapa mangsa untuk menggugurkan dakwaan terhadap pembuli.

“Kedua-dua mangsa dan pembuli kini belajar di kolej, yang mana ia tidak mungkin boleh dilakukan oleh pembuli jika dia diserahkan kepada polis.

“Biasanya saya bertanyakan sama ada mereka ingin berbincang atau pergi kepada pihak polis. Setakat ini, semua bersetuju untuk berbincang. Namun, saya percaya jika ia adalah jenayah serius seperti rogol dan bunuh, ia harus dibawa kepada polis dan mahkamah.”

Dia memberi amaran supaya undang-undang atau tambahan hukuman lebih ketat tidak dilakukan, kerana terdapat risiko yang boleh mengubah pesalah menjadi penjenayah.

Katanya, undang-undang tegas mungkin berkesan untuk orang dewasa tetapi tidak membantu kanak-kanak kerana keadaan mental mereka lemah.

Kebanyakan pembuli juga datang daripada keluarga bermasalah dan memerlukan peluang untuk berubah.

Sebagai bantuan tambahan, Nayagam mencadangkan satu laman sesawang yang merahsiakan identiti atau talian hotline dapat disediakan untuk pembuli dan mangsa untuk menceritakan masalah mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.