Kumpulan hakim bersara bawa isu pencen ke mahkamah

Kumpulan hakim bersara bawa isu pencen ke mahkamah

Mereka minggu lepas memfailkan saman pemula selepas kerajaan enggan melayan surat tuntutan mereka.

Mereka terdiri daripada 28 bekas hakim yang pernah berkhidmat di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya serta Sabah dan Sarawak serta tujuh tanggungan hakim yang sudah meninggal dunia.
KUALA LUMPUR:
Sekumpulan hakim bersara dan tanggungan mereka memfailkan saman meminta pencen mereka dilaraskan mengikut semakan gaji hakim yang sedang berkhidmat.

Kumpulan ini terdiri daripada 28 bekas hakim yang pernah berkhidmat di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Malaya serta Sabah dan Sarawak serta tujuh tanggungan hakim yang sudah meninggal dunia.

Mereka mahu mahkamah membuat beberapa pengisytiharan.

Pertamanya, mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa kegagalan menetapkan peratusan penyelarasan yang lebih tinggi daripada 2% setahun ke atas pencen dan manfaat lain bagi setiap seorang plaintif – menurut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim apabila gaji para hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman yang sedang berkhidmat dinaikkan dengan berkuat kuasanya Peraturan Saraan Hakim (Pindaan Jadual Pertama dan Kelima) pada 1 Julai 2015 – telah mengubah pencen mereka dan manfaat lain sehingga sehingga menjadi kurang baik.

Mereka berkata, kegagalan itu melanggar Perkara 125(7) Perlembagaan yang dibaca bersama Perkara 125(9).

Perkara 125(7) menyatakan saraan dan terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.

Pelarasan pencen disediakan menurut Seksyen 15(B) Akta Saraan Hakim namun sudah dipinda secara retrospektif pada 1 Jan 2014.

Kumpulan itu juga mahu kerajaan memansuhkan peraturan-peraturan berkenaan dan memasukkan peruntukan baharu bagi menyemak pencen untuk hakim bersara.

Kumpulan itu berkata mereka terpaksa mendapatkan penyelesaian undang-undang kerana kerajaan enggan melayan surat tuntutan mereka pada September tahun lepas.

Saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi minggu lepas. Ia menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri, dan Ketua Pengarah perkhidmatan awam sebagai responden.

Antara hakim bersara yang terlibat adalah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Alauddin Mohd Sheriff; dan bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohamed Nor dan Siti Norma Yaakob.

Haidar turut mengemukakan afidavit bagi menyokong saman mereka.

Sementara itu, dua hakim bersara yang tidak mahu FMT menamakan mereka, mengesahkan tindakan bersama (class action) itu.

“Tindakan kami ini serupa dengan pengisytiharan yang diperolehi daripada satu keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini,” katanya salah seorang hakim itu.

Mahkamah Rayuan pada 13 Jan mengisytiharkan bahawa satu pindaan ke atas Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) yang berkuat kuasa sejak Januari 2013 tidak mengikut Perlembagaan.

Hakim Darryl Goon berkata pindaan itu menyalahi Perkara 147 Perlembagaan yang menyatakan undang-undang bagi apa-apa pencen hendaklah tidak kurang baiknya berbanding undang-undang terdahulu.

Mengikut skim terdahulu, semakan ke atas pencen pesara awam disemak berdasarkan gaji penjawat awam yang sedang berkhidmat pada gred berkaitan.

Mulai 2013 satu skim baharu diperkenalkan berdasarkan kadar rata kenaikan tahunan 2%.

Pesara, Aminah Ahmad dan 56 individu lain dalam perkhidmatan awam bertindak pada 2017, mendakwa skim baharu itu berpotensi menjadi kurang baik berbanding sebelum ini.

Mereka menamakan kerajaan dan Ketua Pengarah perkhidmatan awam sebagai defendan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.