
Rayzam sebelum ini mempersoalkan kewajaran Majlis Sukan Negara (MSN) memotong elaun bulanan kepada RM800 mulai Januari berkata, pemotongan elaun yang terlalu tinggi boleh mendorong atlet bersara awal dan menjadikan hati olahragawan muda tawar.
“Terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan kerana menaikkan elaun,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan elaun pemenang pingat perak naik daripada RM800 kepada RM1,500 sebulan dan RM1,000 sebulan bagi pemenang pingat gangsa berkuat kuasa serta-merta.
Rayzam yang akan beraksi buat kali terakhir pada Sukan SEA 2022 Mei ini percaya kadar baharu elaun itu “memadai” baginya.
“Saya pun tak mahu ‘demand’ sangat,” katanya.
Pemotongan elaun secara drastik sebelum ini dikatakan berpunca daripada peruntukan kewangan yang terhad daripada kerajaan.
Selain itu, 144 atlet turut digugurkan daripada skim bayaran elaun MSN.
Menteri pada sidang media semalam berkata, penambahbaikan kadar elaun adalah perlu bagi memastikan perancangan latihan dan kebajikan atlet terus terpelihara.
“Ramai atlet nak berhenti kalau setakat RM800 (elaun). Lebih baik kami (cari) kerja lebih bagus, yang penat dibayar dengan berbaloi. Ramai yang mahu bersara,” kata Rayzam.
Beliau berharap pemotongan yang terlalu tinggi tidak berulang pada masa depan.
“Gaji pekerja Bangladesh lagi tinggi, tapi kita bawa nama Malaysia. Kita berlatih pagi dan petang tapi (dibayar) RM800 saja. Kalau orang biasa…mereka kata ‘buat apa? Baik cari kerja yang gaji lebih tinggi’. Kita bawa nama Malaysia. Ini tidak betul,” katanya.
Rayzam sudah 15 tahun mewakili negara dalam pelbagai kejohanan dan membawa pulang pingat antaranya emas acara 110 meter lari berpagar pada Sukan SEA 2007 dan 2017 serta perak pada Sukan SEA 2019.
“Saya atlet senior dan berkeluarga. Tak patutlah RM800. Mahu beli kasut sukan, peralatan sukan pun tidak lepas. (Kena beli) ‘supplement’ (makanan tambahan) lagi. ‘Spike’ (kasut) pun sudah RM1,000. Kalau beli murah (harga) RM300-400, sekejap saja, tiga empat bulan sudah rosak,” katanya.
“Kena ingat, kami ini ada pinjaman rumah, kereta. Semua orang ada hutang dan komitmen masing-masing.”
Rayzam percaya kenaikan elaun bagi pemenang pingat perak dan gangsa akan menguja semangat atlet muda.
“Kalau atlet muda nampak atlet senior dapat (bayaran) seperti ini kalau menang Sukan SEA, jadi mereka bekerja keras untuk dapat pingat.
“Atlet muda pun akan rasa bersemangat mahu teruskan latihan. Kalau setakat RM800, boleh jejaskan atlet muda dan ibu bapa. Mahu ke mereka hantar anak mereka hadiri latihan, kalau (elaun) setakat RM800 saja kan?” katanya.
Rayzam sebelum ini dilaporkan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya jurulatih olahraga selepas Sukan SEA 2022, namun bergantung kepada sama ada beliau layak ke Sukan Komanwel atau Asia.