Sudah tentu kita ingin semua parti komponen guna logo PH, kata Amanah, DAP

Sudah tentu kita ingin semua parti komponen guna logo PH, kata Amanah, DAP

Parti komponen Pakatan Harapan iaitu PKR memutuskan untuk menggunakan logonya sendiri pada pilihan raya negeri Johor.

Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng berkata, Amanah serta DAP akan terus menggunakan logo PH untuk menunjukkan mereka komited terhadap aspirasi mentadbir kerajaan sebagai sebuah gabungan.
PETALING JAYA:
Amanah dan DAP berkata, sudah tentu ia inginkan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo gabungan itu bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor selepas PKR memutuskan ia akan menggunakan logonya sendiri.

Bagaimanapun kedua-dua parti menghormati kedudukan sekutu mereka itu, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan bersama, dua pemimpin itu berkata, parti berkenaan akan terus menggunakan logo PH yang dikongsi bersama untuk menunjukkan mereka komited kepada aspirasi mentadbir kerajaan sebagai sebuah gabungan.

“Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama.

“Kedua-dua Amanah dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah,” kata mereka.

Menurut mereka, gabungan PH telah membuat keputusan untuk menggunakan logo bersama pada April 2018 dan hasil rundingan logo PKR dipilih untuk digunakan bagi pilihan raya umum ke-14 kerana PH berdepan kesulitan untuk didaftarkan ketika itu.

Keputusan itu dibuat berdasarkan kepercayaan bahawa pengundi pada umumnya bertindak balas dengan lebih baik kepada gabungan atau parti yang mereka rasa boleh bekerjasama untuk menyelesaikan masalah walaupun walaupun ada perbezaan antara mereka.

“Amanah dan DAP akan terus mengekalkan Pakatan Harapan. Kita masih ada tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneruskan usaha memenuhi keperluan rakyat.

“Atas sebab inilah, Amanah dan DAP akan tetap menggunakan logo Pakatan Harapan bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan.”

Melangkah ke pilihan raya Johor, Lim dan Mohamad berkata, parti pembangkang berdepan cabaran sukar menentang Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dan penggunaan logo bersama akan memudahkan pengundi melihat PH sebagai satu gabungan parti yang padu.

“Amanah dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk MUDA untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya Johor,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.