Aktivis selar cadangan sebat PATI, anggap hukuman tak berperikemanusiaan

Aktivis selar cadangan sebat PATI, anggap hukuman tak berperikemanusiaan

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira, berkata hukuman keras perlu dikenakan kepada dalang utama yang terbabit menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kebiasaannya, migran terjebak dalam penipuan penyeludupan manusia masuk ke negara ini, kata aktivis hak asasi manusia Adrian Pereira.
PETALING JAYA:
Aktivis hak migran menyelar cadangan dikemukakan seorang pegawai kanan polis supaya kerajaan mempertimbangkan hukuman sebat terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI), dengan menyifatkan tindakan itu tidak berperikemanusiaan, selain tidak memberi makna.

Pengarah Insiatif Utara-Selatan Adrian Pereira, berkata hukuman sebatan itu sama seperti melakukan penyiksaan terhadap mereka.

Katanya, perkara perlu diutamakan bagi pihak berkuasa adalah mengenalpasti pendatang tidak mempunyai dokumen dan bagaimana mereka diseludup masuk ke negara ini.

Ia termasuk salah urus migrasi rentas sempadan.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira.

Aktivis hak kemanusiaan itu, berkata migran kebiasaannya dipaksa membuat pilihan “berisiko”, termasuk terjebak dalam penipuan penyeludupan manusia.

“Dan itu sebabkan migran tidak sepatutnya dihukum.

“Hukuman keras perlu dikenakan kepada pelaku utama yang terbabit menyeludup mereka, sindiket dan dalang utama terlepas, manakala yang menjadi mangsa terpaksa menerima hukuman,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Pereira berkata penyelesaian kepada isu berkenaan bukan berkisar kepada hukuman keras.

“Pelbagai pertubuhan masyarakat sivil sudah mencadangkan sejak bertahun-tahun lalu apa yang dikatakan menjadi kesalahan ini perlu dilihat dari kanta pentadbiran, bukannya dari sudut jenayah kerana migran terbabit masuk ke negara ini untuk bekerja, bukan melakukan jenayah,” katanya.

“SUHAKAM juga ada mencadangkan alternatif beberapa tahun lalu untuk pihak berkuasa menangani isu ini.”

Sinar Harian hari ini, melaporkan, polis mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman sebat terhadap (PATI) yang melakukan kesalahan berulang menggunakan pangkalan haram masuk ke negara ini tanpa permit sah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Hazani Ghazali, berkata pendekatan itu merupakan satu bentuk pengajaran kepada PATI supaya tidak lagi berbuat demikian pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.