Kami tak terguris, Umno memang begitu, pemimpin PAS jawab sindiran ‘ahli zoologi’ Zahid

Kami tak terguris, Umno memang begitu, pemimpin PAS jawab sindiran ‘ahli zoologi’ Zahid

Awang Hashim juga menganggap sikap sindir menyindir dilakukan Ahmad Zahid Hamidi itu sememangnya mainan politik Umno.

PAS akan terus dengan peranan perpaduan ummah walaupun apa saja kritikan yang dilemparkan terhadap parti itu, menurut Awang Hashim.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS menyifatkan sindiran balas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ke atas Abdul Hadi Awang supaya presidennya menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi tidak akan menjejaskan usaha parti itu dalam menyatukan ummah.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Awang Hashim juga tidak menganggap kenyataan Zahid kepada Hadi itu sebagai mengguris hati mereka sambil menyifatkan sikap sindir menyindir sudah menjadi mainan politik Umno.

“Tak apa biar la, kami tak terguris pun, mainan politik Umno memang begitu.

“PAS akan terus dengan peranan perpaduan ummah (menyatukan PAS, Umno dan Bersatu), walaupun apa saja kritikan yang dilemparkan kepada PAS ia tidak akan menjejaskan perjuangan perpaduan ummah kerana penting untuk masa depan orang Melayu, agama Islam dan negara, bila ada penyatuan ummah semua perkara akan jadi kuat dan mudah untuk dilaksanakan,” katanya kepada FMT.

Zahid semasa berucap di majlis pelancaran jentera Barisan Nasional di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat menyindir Hadi dengan mengesyorkan Presiden PAS itu menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Ia susulan gelaran “itik patah kaki” kepada Umno sebagaimana kenyataan dikeluarkan Hadi baru-baru ini.

Pada 28 Jan lalu, Hadi menyatakan rasa tidak senangnya terhadap Umno yang digambarkan sebagai itik patah kaki selepas kalah dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selepas PAS membantu mereka, kata Hadi, Umno bertindak meninggalkan PAS dan beliau menganggap tindakan itu sebagai tidak bermoral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.