
Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes tersebut hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata, kes itu dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah 5 (MTJ 5) untuk didengar di hadapan hakim Jamil.
“Tarikh bicara sebelum ini ditetapkan di MTJ 5 (Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh),” katanya yang turut memaklumkan akan memanggil 19 saksi pada perbicaraan kes itu.
Hakim Jamil berkata, tarikh perbicaraan yang ditetapkan mahkamah sebelum ini terpaksa dijadualkan semula kerana beliau perlu mendengar beberapa kes lain dan menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 Sept dan 3 hingga 6 Okt untuk perbicaraan.
Hakim Ahmad Shahrir yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil mulai semalam, sebelum ini menetapkan perbicaraan bermula pada 6 April.
Shahrir, 72, yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin turut hadir pada prosiding hari ini.
Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke akaun bank milik tertuduh.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.