
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, Anwar dan PKR tidak perlu menjawab atau menyerang balas kerana orang ramai dan pengundi di Johor khasnya, tidak suka melihat ahli politik berkelahi.
“Pengundi di Johor nak dengar apa yang orang-orang politik akan buat untuk bantu rakyat yang tengah susah sekarang.
“Biarkanlah Mukhriz lebih garang menyerang Anwar daripada menyerang pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, Mukhriz mengkritik Anwar kerana tidak lebih berusaha lebih untuk menyatukan parti pembangkang berdasarkan kedudukannya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Katanya, tiada kepimpinan sebenar dalam PH dan beliau memetik keputusan PKR tidak menggunakan logo gabungan itu bagi PRN Johor sebagai tanda tiada perpaduan.
Hassan berkata, Anwar dan PKR perlu menumpukan keperluan rakyat berbanding menyerang balas kritikan daripada ahli politik lain.
“Anwar dan PKR khususnya elok tumpukan kempen kepada isu-isu rakyat seperti mengemukakan penyelesaian kepada masalah kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.
“Itu lebih bererti kepada pengundi.”
PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac dan hari pengundian awal ditetapkan pada 8 Mac.