Siasat Najib atas dakwaan ‘dana 1MDB untuk PRU’, Guan Eng beritahu SPRM

Siasat Najib atas dakwaan ‘dana 1MDB untuk PRU’, Guan Eng beritahu SPRM

Pemimpin DAP itu menggesa SPRM menyiasat bekas Perdana Menteri itu susulan keterangan Tim Leissner di mahkamah AS berkait penyalahgunaan dana 1MDB.

Lim Guan Eng berkata, Tim Leissner turut memberi keterangan bahawa beliau telah menemui Najib Razak.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Najib Razak susulan dakwaan di mahkamah Amerika Syarikat (AS) bahawa dana daripada hasil jualan bon 1MDB digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya.

Pendedahan itu dibuat bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dalam keterangannya ketika perbicaraan 1MDB terhadap bekas rakan kerjanya, Roger Ng.

Leissner, yang merupakan penyelia Ng di Goldman dan kini saksi utama kerajaan dalam prosiding itu, mendakwa telah menerima habuan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) kerana membantu menggelapkan dana dikumpul Goldman untuk 1MDB menerusi jualan tiga bon.

Dalam keterangannya, Leissner berkata, walaupun beliau menerima habuan jutaan dolar daripada jualan dua bon pertama, beliau tidak menerima apa-apa hasil jualan untuk bon ketiga kerana Jho Low memaklumkan wang itu diperlukan untuk “membiayai pilihan raya umum 2013 di Malaysia”.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Lim (PH-Bagan) berkata, Leissner turut memberitahu mahkamah AS bahawa beliau menemui Najib yang ketika itu masih memegang jawatan Perdana Menteri, selain berurusan dengan setiausaha sulit pemimpin itu.

Lim menyoal sama ada SPRM akan menyiasat isu itu dan mendapatkan penjelasan Ahli Parlimen Pekan itu.

Lim turut membangkitkan soalan mengenai Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang dibentuk pada 2018 untuk meneliti kemungkinan terdapat perlakuan jenayah individu yang terlibat dalam pengurusan 1MDB.

“Adakah Pasukan Petugas Khas 1MDB telah dibubarkan atau sumber yang diberikan telah dikurangkan dari segi kewangan dan kakitangan?” soal Lim sambil menegaskan siasatan penuh perlu dilakukan kerana skandal berkenaan melibatkan RM51 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.