Air mentah: P Pinang rujuk Putrajaya, yakinkan Perak setuju SPRWTS

Air mentah: P Pinang rujuk Putrajaya, yakinkan Perak setuju SPRWTS

Ia susulan keputusan muktamad Perak tidak membekalkan air mentah kepada kerajaan Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow dan Saarani Mohamad bersetuju merujuk isu itu kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air yang sedang memuktamadkan kajian mengenai sumber air di Sungai Perak.
PETALING JAYA:
Kerajaan Pulau Pinang dan Perak akan merujuk isu penggunaan air mentah Sungai Perak kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Langkah itu menyusul pengumuman Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad hari ini berhubung keputusan muktamad negeri itu tidak membekalkan air mentah kepada Pulau Pinang menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), inisiatif Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang pada masa sama akan cuba meyakinkan Perak bahawa SPRWTS perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sekali lagi mengulangi permintaan kepada kerajaan Perak untuk meneroka potensi Sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya, pihak Menteri Besar dan agensi berkaitan kerajaan negeri itu memberi maklum balas bahawa Perak, khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah untuk kegunaan pelbagai sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.

“Menteri Besar Perak dalam pada itu juga membuat kesimpulan bahawa permintaan daripada kerajaan Pulau Pinang bergantung kepada kecukupan bekalan air dari Sungai Perak, sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat.

“Justeru, kerajaan Pulau Pinang mengambil maklum hujah kerajaan Perak dan pada masa sama, hujahan itu membuktikan SPRWTS juga amat diperlukan, bukan sahaja oleh Pulau Pinang, tetapi juga Perak, khususnya di bahagian utara negeri berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Chow berkata, hasil perbincangan kedua-dua negeri kelmarin bersetuju merujuk isu itu kepada KASA, yang sedang memuktamadkan kajian mengenai sumber air di Sungai Perak.

“Namun, dalam menunggu keputusan muktamad berhubung projek SPRWTS yang tertangguh selama 11 tahun dan bagi memastikan bekalan sumber air negeri ini sentiasa mencukupi, kerajaan Pulau Pinang melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merangka pelan kontigensi, iaitu ‘Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050’ (PWSI 2050).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.