
Beliau berkata, tindakan itu tetap diambil meskipun Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memuktamadkan dan menutup siasatan terhadap Azam.
“Setakat ini, siasatan masih berterusan. Sehubungan itu, kementerian tidak berhasrat mengulas lebih lanjut berhubung kes ini supaya tidak mengganggu siasatan yang masih berlangsung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menurut laporan Sinar Harian.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada siasatan terhadap Azam berhubung isu pemilikan saham atas namanya masih berjalan, biarpun SC sudah memuktamadkan dan menutup siasatan terhadap beliau.
Pada 18 Jan lalu, SC merumuskan ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.
Pengawal selia pasaran modal tempatan itu berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti dikumpul.
Kontroversi membabitkan Azam semakin panas apabila Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Edmund Terence Gomez, meletak jawatan selepas panel itu didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Gomez dalam surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi PPPR SPRM, Borhan Dolah yang tular di media sosial berkata, keputusan itu dibuat kerana timbul persoalan mengenai “hubungan antara perniagaan dan pihak berkuasa” serta situasi konflik kepentingan membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Susulan itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Abu Zahar Ujang dilaporkan mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah melampau.
Abu Zahar menjelaskan hasil penjelasan Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adiknya, iaitu Nasir Baki.
Azam kemudian dilaporkan berkata, tindakan adiknya menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan berbuat demikian.