Saya tak pernah hadir mesyuarat TIA bersama Leissner, Jho Low, kata Tengku Zafrul

Saya tak pernah hadir mesyuarat TIA bersama Leissner, Jho Low, kata Tengku Zafrul

Tim Leissner mendakwa beliau dijemput hadir dalam mesyuarat membabitkan TIA bersama Jho Low dan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan sebarang pembabitan dalam mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) seperti disebut oleh bekas pengurus bank Goldman Sachs yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Tim Leissner.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bersama Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas eksekutif Goldman Sachs.

Penafian itu dibuat selepas Tim Leissner, saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, berkata, beliau dijemput hadir dalam mesyuarat yang turut dihadiri Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Jho Low dan termasuk Tengku Zafrul.

Ketika itu, Tengku Zafrul adalah pengarah di Kenanga Investment Bank.

Mesyuarat peringkat tinggi mengenai TIA yang kemudiannya menjadi 1MDB itu dikatakan berlaku pada 2009.

Tengku Zafrul memberikan penjelasan berhubung perkara itu dalam hantaran di Facebook.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat mengenai TIA pada tahun 2009 bersama DYMM Sultan Terengganu dan individu-individu lain yang disebut dalam kenyataan tersebut,” katanya.

Menurut dokumen mahkamah dilihat FMT, Leissner mengambil maklum satu emel daripada Ng yang juga bekas ketua bank pelaburan Goldman Sachs di Malaysia, yang dijemput dalam satu mesyuarat TIA bersama Sultan Terengganu.

Ditanya oleh pendakwa raya adakah beliau tahu Tengku Zafrul daripada Kenanga, Leissner menjawab, “ketika itu saya tidak tahu”.

“Dia pernah berpindah semasa saya menjadi pengurus bank jadi saya tak tahu pada masa itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.