5 anggota sindiket PLKS palsu ditahan, hadapi lebih 100 tuduhan esok

5 anggota sindiket PLKS palsu ditahan, hadapi lebih 100 tuduhan esok

Anggota sindiket yang terdiri daripada pekerja teknikal dan kakitangan syarikat pembekal itu dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak 2015 hingga 2020.

Lima anggota sindiket itu, termasuk seorang wanita, ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini
PETALING JAYA:
Lima individu, termasuk seorang lelaki bergelar “Datuk” dan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki menjadi “orang dalam” sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan pengubahan wang haram.

Sumber berkata, lima individu itu, termasuk seorang wanita, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak 2015 hingga 2020, ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, kelima-limanya individu berusia 34 hingga 47 tahun itu terdiri daripada pekerja teknikal serta kakitangan syarikat pembekal.

Katanya, mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dengan lebih 100 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidn mengesahkan penahanan itu dan pertuduhan melibatkan aset yang dimiliki menerusi hasil wang haram daripada kegiatan sindiket seperti wang tunai, jam tangan mewah, kenderaan, tanah dan rumah.

Beliau berkata, lima individu itu juga akan didakwa di mahkamah lain di beberapa negeri, antaranya Selangor, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.

April tahun lalu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen melumpuhkan sebuah sindiket terbesar dalam pengeluaran PLKS palsu dengan lima individu termasuk seorang yang bergelar “Datuk” ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Operasi SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen turut merungkai kegiatan sindiket itu yang mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kerajaan yang sepatutnya diperolehi daripada levi pekerja asing.

Susulan itu, 147 akaun bank milik 30 individu dan 11 syarikat berjumlah RM9.98 juta dibekukan, selain 30 unit hartanah dianggarkan bernilai RM11.87 juta dan 66 kenderaan bernilai RM13.69 juta disita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.