
“Sekarang bukan masa untuk buat PRU dan saya nak cadangkan kepada YB Bera (Ismail) supaya jangan tunduk kepada tekanan….(Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi). Kita tahu (beliau) akan tekan minggu depan buat PRU, bubar Parlimen.
“Saya nak sarankan kepada YB Bera (Ismail) selepas kita luluskan pindaan perlembagaan berkenaan akta lompat parti, kita boleh bincang lanjutkan MoU selepas 31 Julai atau MoU 2.0,” Loke memberitahu sidang Dewan Rakyat.
Loke (PH-Seremban) menegaskan bahawa wabak Covid-19 kini kembali mengganas sehingga beberapa orang calon turut dijangkiti ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor. Selepas dua minggu berkempen, hari mengundi PRN Johor adalah Sabtu ini.
“Kita boleh adakan perjanjian, sementara waktu ini Covid-19 belum reda, kita tangguh PRU mungkin sehingga akhir tempoh Parlimen,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Loke bagaimanapun berkata, tawaran untuk melanjutkan MoU itu bergantung sama ada Ismail mampu menunaikan janji yang terkandung dalam perjanjian berkenaan.
Pemimpin PH menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Ismail pada 13 Sept tahun lalu bagi mengembalikan kestabilan politik susulan pertukaran kerajaan pada Ogos.
Antara intipati yang dipersetujui adalah kerajaan tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Jul tahun ini, selain melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkasakan sistem demokrasi negara.
Mengulas dakwaan bahawa PH menjual kepentingan rakyat dengan memeterai MoU dengan kerajaan, Loke menyifatkannya sebagai fitnah dan menegaskan gabungan empat parti itu akan terus memainkan peranan konstruktif dalam mengkritik dasar kerajaan.
“Kononnya peruntukan diberikan kepada Ahli Parlimen PH maknanya kita dibeli oleh kerajaan dan BN. Saya sebagai ahli jawatankuasa perunding dan juga pemandu MoU ini menafikan sekeras-kerasnya tohmahan tersebut.
“Ini dakyah dan fitnah tidak berasas sama sekali. Yang jelas, kedudukan kita tetap sama, PH tetap PH. BN tetap BN. PH akan lawan BN sampai bila-bila. Kita akan lawan dalam PRN dan PRU akan datang tetapi kita tetap memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa peruntukan yang diterima oleh Ahli Parlimen PH digunakan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya katanya, ia disalurkan terus kepada pusat khidmat masyarakat.
“Dari segi peruntukan, betul peruntukan disampaikan tetapi peruntukan itu bukan masuk ke akaun peribadi kita…peruntukan bukan masuk ke yayasan kita (tetapi) setiap sen daripada peruntukan diberikan kepada pusat khidmat kita (untuk) disampai dan disalurkan kepada rakyat,” katanya.