Edar ganja: Mahkamah kekal hukuman mati terhadap bekas kakitangan JPN

Edar ganja: Mahkamah kekal hukuman mati terhadap bekas kakitangan JPN

Perbuatan tertuduh memberikan beg mengandungi dadah itu kepada seorang anggota polis diterima sebagai bukti.

Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Rahman Sebli berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan Ariff Arhannan Che Udin adalah selamat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selepas disabitkan kesalahan mengedar 721.26g kanabis di sebuah rumah di Senawang, Negeri Sembilan, lima tahun lalu.

Hakim Abdul Rahman Sebli berkata, keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Ariff Arhannan Che Udin, 30, bagi kesalahan itu adalah selamat walaupun pembelaan berhujah hakim perbicaraan terkhilaf apabila menerima bukti berkaitan dengan kelakuan tertuduh.

Pihak pembelaan sebelum ini berhujah, hakim perbicaraan tersilap kerana amaran tidak diberikan kepada tertuduh mengikut Akta Dadah Berbahaya (DDA).

Rahman, yang mengetuai panel tiga hakim berkata: “Jelas bahawa bukti berkaitan dengan kelakuannya adalah relevan dan boleh diterima mengikut Seksyen 8(2) Akta Keterangan.”

Beliau berkata, isu perlu dipertimbangkan Mahkamah Tinggi adalah sama ada Ariff mempunyai pengetahuan mengenai dadah dalam sebuah beg hitam. Katanya, tindakannya kemudian mengambil beg itu dan menyerahkannya kepada anggota polis Firdaus Ashaari jelas relevan dengan isu itu.

Rahman berkata, hujah itu gagal sekiranya perlakuan berkenaan tidak diterima sebagai sebahagian daripada percakapan tertuduh.

Mahkamah susulan itu menolak rayuan Ariff dan mengesahkan sabitan serta hukuman terhadapnya.

Ariff didapati bersalah memiliki 721.26g kanabis di sebuah rumah di Jalan Kemuning, Senawang pada 23 Julai 2017.

Seseorang itu dianggap sebagai pengedar jika berat kanabis adalah 200g atau lebih.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad manakala Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ariff.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.