
Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan Barisan Nasional bawah teraju Umno berupaya mencapai majoriti 2/3 dengan memenangi sekurang-kurangnya 39 daripada 56 kerusi DUN Johor, sekali gus menubuhkan kerajaan baharu.
Keputusan tidak rasmi juga menunjukkan ‘pulangan’ PN dalam bentuk kemenangan tidak berbaloi, meskipun meletakkan calon di semua 56 DUN.
PKR dan Amanah juga kalah teruk manakala keputusan tidak rasmi menunjukkan hanya DAP dapat mempertahankan kebanyakan daripada 14 kerusi yang ditandinginya.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan PKR yang sebelum ini kalah di semua kerusi yang ditandingi di Melaka dan Sarawak, sekali lagi menerima kekalahan teruk, termasuk di Layang-layang di mana parti itu membariskan bekas menteri Mazlee Malek. Pada PRU lalu, PKR menang 5 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Kekalahan teruk PN tentunya mengecewakan parti itu kerana ia bertanding di ‘rumah’ pengerusinya Muhyiddin Yassin selaku anak Johor dan Ahli Parlimen Pagoh serta sebelum ini, bekas ADUN Gambir, dan mantan menteri besar.
PAS selaku parti komponen PN, bertanding di 15 DUN, namun pengiraan awal undi menunjukkkan prestasi suram untuk parti pimpinan Abdul Hadi Awang. Manakala Gerakan yang menjadi ayam tambatan PN untuk menarik pengundi Cina, dilaporkan kalah di semua lapan kerusi yang dipertandingkan.
Parti-parti lain seperti Pejuang, pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Warisan, dan MUDA turut gagal membuat impak, sesuatu yang mungkin memaksa mereka mencari sekutu untuk menghadapi PRU15.
Namun, persoalan lebih besar ialah ‘survival’ PN dan PH selaku antara gabungan politik besar yang dianggap penyaing utama kepada Umno-BN.
Cubaan mereka untuk menyekat kemaraan BN, khususnya Umno, dengan menggunakan isu ‘kluster mahkamah’ dan rasuah untuk menyerang pemimpin seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak secara berterusan sekali lagi gagal.
Seperti mana di Melaka, kebergantungan kepada isu nasional, tanpa tumpuan secukupnya kepada soal asas seperti ekonomi rakyat, kos sara hidup, dan peluang pekerjaan, dilihat membawa padah kepada PN, PH, dan parti lain dalam cubaan menekan Umno-BN pada PRN Johor.
Kekalahan berturut-turut di Melaka dan malam ini di Johor, mungkin memaksa PAS dan Bersatu menilai semula gandingan mereka.
Usaha Bersatu menarik sokongan bukan Melayu dilihat tersekat kerana imej PAS di kaca mata mereka, manakala PAS sendiri gagal meluaskan pengaruhnya secara nyata, susulan keputusannya bekerjasama dengan Bersatu dan menolak Umno.
Keputusan PRN Johor juga sekali lagi mengundang persoalan mengenai kepimpinan Anwar baik di dalam PKR mahupun PH sendiri.
Gabungan yang menawan Johor, beberapa negeri lain dan Putrajaya pada PRU lalu itu, semakin jelas kehilangan taring dan lesu di mata pengundi, khususnya dalam hal PKR.
PH dilihat memerlukan suntikan baharu jika mahu menjadi pesaing utama kepada BN mahupun PN pada PRU15.
PKR bertanding di Johor menggunakan lambang partinya sendiri, manakala DAP dan Amanah memilih logo PH.
Perbezaan itu, serta langkah DAP dan Amanah bekerjasama dengan MUDA, manakala PKR tidak, sekali gus menguatkan tanggapan bahawa keakraban PKR dengan dua parti komponen itu tidak seperti mana sebelumnya, malah bermasalah.