Serius tangani banjir, Sultan Selangor beritahu kerajaan negeri

Serius tangani banjir, Sultan Selangor beritahu kerajaan negeri

Kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenal pasti segera, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran dan teknologi baharu, kata Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita melihat kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat.
SHAH ALAM:
Kerajaan negeri dinasihatkan supaya memberi penekanan yang lebih serius kepada usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenal pasti segera, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara.

“Sepatutnya sejak berlaku tragedi banjir besar di negeri Selangor pada tahun 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir,” katanya pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14.

Sultan Sharafuddin berkata, dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang terutama di kawasan yang sangat padat penduduknya, kerajaan negeri harus mempunyai perancangan masa hadapan yang lebih efektif supaya rakyat Selangor tidak lagi merana dan terbeban dengan masalah banjir.

Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Dalam melaksanakan usaha-usaha ini, beta juga mahu pegawai-pegawai kerajaan negeri, agensi-agensi dan jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan bencana banjir,” katanya.

Baginda menyarankan supaya usaha menangani banjir itu termasuklah menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai, memastikan sistem perparitan yang baik dan terurus, serta membina kunci air (floodgate) di lokasi-lokasi penting dengan mengambil kira kadar taburan hujan dan jadual pasang surut air laut.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan harapan agar setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk daripada berlaku.

“Beta sedih dan dukacita apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.