Awalkan PRU untuk kestabilan politik, kerajaan sekarang bergantung kepada pembangkang, kata Johari

Awalkan PRU untuk kestabilan politik, kerajaan sekarang bergantung kepada pembangkang, kata Johari

Ahli MKT Umno, Johari Ghani, berkata soal siapa menang dalam PRU tidak penting mana berbanding keperluan mendesak memulihkan kestabilan politik negara.

Johari Ghani berkata, berkata soal siapa menang dalam PRU tidak penting mana berbanding keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan politik demi kebaikan rakyat.
PETALING JAYA:
PRU15 harus disegerakan untuk memulihkan kestabilan politik kerana kerajaan sekarang tidak ada keabsahan disebabkan bergantung kepada sokongan pembangkang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Johari Ghani.

“Walaupun kerajaan hari ini diterajui oleh pemimpin Umno, tetapi kita masih bergantung kepada sokongan pembangkang. Kerajaan ini tidak ada legitimasi. Umno-BN hanya ada 42 kerusi Parlimen. Selainnya dikuasai oleh pembangkang.

“Ketidakstabilan ini menyebabkan banyak polisi atau dasar yang hendak diperkenalkan tidak dapat dilaksanakan,” Johari memberitahu Mingguan Malaysia, dalam menggariskan kenapa beliau menyokong PRU diadakan lebih awal.

Sungguhpun Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, dilantik Perdana Menteri Ogos lalu, barisan Kabinetnya turut merangkumi pemimpin pelbagai parti, termasuk PAS dan Bersatu yang menentang Umno di PRN Melaka dan Johor baru-baru ini.

Selain itu, Ismail turut memeterai perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan yang terikat kepada pelbagai tuntutan gabungan pembangkang itu.

Johari, yang juga bekas Menteri Kewangan II, berkata soal siapa menang dalam PRU tidak penting mana berbanding keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan politik demi kebaikan rakyat.

“Sama ada BN atau pembangkang yang menang, itu tidak penting. Yang kita perlukan ialah pihak yang menang mesti boleh mewujudkan suasana politik yang stabil,” kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, apa yang jelas kepada rakyat ialah rekod BN memastikan kestabilan politik dan pembangunan negara berbanding PH yang memenangi PRU lalu dan Perikatan Nasional.

“Bila gabungan pembangkang menang waktu PRU14 lalu, mereka gagal memberikan kestabilan politik seperti yang dilakukan oleh BN selama 61 tahun, sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara. Ini kerana ideologi politik setiap parti komponen pembangkang sangat berbeza antara satu sama lain, sehingga mereka bergaduh sesama mereka,” kata Johari.

Beliau berkata politik katak lompat yang dibawa pembangkang menjejaskan lagi keadaan negara sehingga undang-undang khusus terpaksa digubal untuk mengekang amalan itu.

“Umno-BN juga terkesan dengan budaya katak lompat ini. Ramai daripada ahli-ahli parlimen yang menang atas tiket BN juga melompat ke parti pembangkang.

“Dengan undang-undang anti-lompat akan diperkenalkan oleh Parlimen nanti, secara tidak langsung akan memberi isyarat jelas kepada bakal-bakal ahli Parlimen pada PRU15. Mereka tidak boleh lagi membudayakan perangai lompat-lompat ini,” kata Johari.

Mengenai Umno, yang mengadakan perhimpunan agungnya semalam, Johari berkata parti itu tidak harus “dirobek” dari dalam dan menggesa semua pemimpin mempertahankan kestabilan Umno untuk memenangi PRU15.

“Selepas PRU15 kita boleh adakan pemilihan dalam parti. Mana-mana yang menang pilihan raya boleh diberi peluang untuk menjawat jawatan tertinggi dalam parti. Ini supaya perjalanan parti selari dengan dasar-dasar kerajaan.

“Kalau tidak, ia hanya akan mengundang berlakunya ketidaktentuan seperti hari ini di mana Perdana Menteri tidak mendapat sokongan mutlak daripada ahli-ahli Parlimen,” kata Johari.

Johari berkata sentimen perwakilan pada PAU yang berakhir semalam amat jelas mahukan Umno-BN memulihkan kestabilan politik supaya tumpuan boleh diberi kepada usaha membangunkan negara.

Beliau berkata mereka juga tidak mahu pemilihan parti diadakan sebelum PRU demi mengelakkan apa-apa pergolakan yang boleh menjejaskan parti dalam menghadapi pilihan raya umum.

Semalam, Umno menetapkan pemilihan parti akan diadakan enam bulan selepas PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.