Ng beli jam pasir, berlian lebih USD300,000 daripada hasil seleweng 1MDB, mahkamah diberitahu

Ng beli jam pasir, berlian lebih USD300,000 daripada hasil seleweng 1MDB, mahkamah diberitahu

Ejen FBI berkata dia menjejaki wang berjumlah USD35 juta telah dipindahkan ke akaun luar pesisir dikawal oleh ibu mentua Roger Ng.

Pendakwa raya AS mula menutup kes terhadap pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng selepas lima minggu mendengar keterangan. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberitahu juri bagaimana dia menjejaki wang USD35 juta yang diseleweng daripada 1MDB dialihkan kepada pegawai bank Goldman Sachs dan digunakan untuk membeli sebuah jam pasir bersalut emas bernilai USD20,000 dan barang kemas berlian berharga USD300,000.

Ketika memberi keterangan pada Selasa dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Roger Ng, ejen FBI Sean Fern berkata, dia berjaya menjejaki dana itu yang menurut pendakwa rayaa, diperolehi oleh Ng sebagai sebahagian daripada rancangan global untuk menyelewengkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Ketika mahkamah Amerika Syarikat (AS) mula menutup kes selepas lima minggu mendengar keterangan, pendakwa raya memanggil Fern untuk menerangkan bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa dalang rancangan itu, mengeluarkan beratus juta dolar daripada urus niaga bon 1MDB untuk menyogok pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi serta pegawai bank Goldman yang membantunya.

Goldman mengatur urus niaga bon 1MDB.

Ng dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner dan Low dalam penipuan itu. Leissner yang telah mengaku salah dan memberi keterangan untuk kerajaan berkata, dia memperoleh lebih USD60 juta bagi peranannya dalam rancangan itu dan mengarahkan Ng dibayar USD35.1 juta menerusi akaun yang dikawal oleh bekas isteri Leissner, Judy Chan.

Fern berkata, dia menjejaki bagaimana dalam tempoh beberapa minggu selepas urus niaga bon pertama 1MDB dimuktamadkan pada Mei 2012, sekurang-kurangnya USD24.4 juta dipindahkan daripada akaun Chan ke akaun luar pesisir yang dikawal oleh ibu mentua Ng, Tan Kim Chin.

Katanya, dua lagi urus niaga pada 2013 menyalurkan USD10.7 juta daripada yang akaun dikawal Chan kepada akaun luar pesisir yang dikawal Tan.

Fern memberitahu juri bahawa sebahagian wang 1MDB itu digunakan untuk membeli barang kemas berlian berharga USD300,500, termasuk cincin enam karat dan jam pasir bersalut emas berharga USD20,000.

Lim mahupun ibunya tidak didakwa dalam kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.