Anwar turut gesa mansuh MySejahtera

Anwar turut gesa mansuh MySejahtera

Ketua pembangkang itu berkata keselamatan aplikasi berkenaan adalah perkara serius yang perlu dijelaskan oleh menteri kesihatan.

Sebelum ini Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai dilaporkan berkata MySejahtera tidak lagi berguna sebaik negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 esok.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyertai pelbagai pihak menggesa supaya aplikasi MySejahtera dimansuhkan kerana ia tidak diperlukan lagi.

Presiden PKR itu berkata, keselamatan aplikasi itu adalah perkara serius yang perlu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Sebab itu ramai yang menuntut (penggunaan MySejahtera dibatalkan). Selain sijil vaksinasi (dalam aplikasi itu), tidak payah lagi MySejahtera,” katanya di luar satu acara hari ini.

Anwar berkata, beliau akan meneliti penjelasan penuh Khairy mengenai keselamatan dan pemilikan data aplikasi itu di Dewan Negara petang ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai dilaporkan berkata, MySejahtera tidak lagi berguna sebaik sahaja negara memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 esok.

Semalam, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan akan menilai corak jangkitan Covid-19 di negara ini selama beberapa minggu selepas 1 April ini, sebelum memutuskan untuk menghentikan penggunaan aplikasi itu.

Jika tiada perubahan jelas dalam corak jangkitan beberapa minggu selepas sempadan Malaysia dibuka semula dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) lain berkuat kuasa esok, katanya, maka orang ramai boleh berhenti menggunakan aplikasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.