2 didakwa bunuh gelandangan, berdepan hukuman mati

2 didakwa bunuh gelandangan, berdepan hukuman mati

Muhammad Aliff Daniel Ong Abdullah dan Joel V Michael Louis didakwa membunuh Mohd Eddie Hafiez Yusof pada 15 Mac lalu.

Mahkamah menetapkan 26 April ini bagi sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat mangsa.
MELAKA:
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan bulan lalu.

Muhammad Aliff Daniel Ong Abdullah dan Joel V Michael Louis masing-masing berusia 20 tahun, didakwa secara bersama membunuh Mohd Eddie Hafiez Yusof, 42, di hadapan kedai di Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka Tengah antara 1 pagi hingga 3.45 pagi 15 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala Aliff dan Joel masing-masing diwakili peguam Andrew Lourdes serta Amritpal Singh.

Mahkamah menetapkan 26 April ini bagi sebutan semula kes dan serahan laporan bedah siasat mangsa.

Media sebelum ini melaporkan seorang gelandangan ditemui parah selepas dipercayai dipukul di hadapan sebuah bangunan kedai di Jalan Persisiran Bunga Raya, Melaka, 15 Mac lalu.

Mangsa ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima bangunan itu pada 7.20 pagi.

Mangsa dilaporkan koma tiga hari akibat pendarahan dalam kepala, bibir koyak, selain organ dalaman perut turut pecah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.