
Wanita itu turut membuat laporan polis terhadap seorang pendakwah kerana didakwa memfitnahnya.
Awal minggu ini, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin memberi amaran terhadap mana-mana pihak yang cuba membatalkan penukaran agama anak Loh.
Khairil berkata, pengislaman kanak-kanak itu dilakukan atas dasar “kefahaman, kesedaran dan kerelaan sebagai manusia bebas (menukar agama) hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam mereka”.
FMT sudah menghubungi Khairil untuk mendapatkan maklum balasnya.
Dalam pada itu, Loh mendakwa pendakwah Firdaus Wong dalam satu siri hantaran di Facebook cuba “mengaib dan menekan” beliau untuk menggugurkan semakan kehakiman terhadap pengislaman anak-anaknya.
“Wong juga memfitnah saya dengan mengatakan saya mempunyai lelaki lain,” katanya dalam laporan itu.
Beliau berkata, hantaran itu adalah satu bentuk ugutan jenayah, hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Zaid Hassan mengesahkan sudah menerima laporan Loh dan akan menjalankan siasatan.
Sementara itu, Wong memberitahu FMT, hantaran itu hanya untuk memberikan “penjelasan kepada masyarakat” tentang kronologi kes yang kurang tepat yang dilaporkan media selama ini.
“Saya hanya berkongsi fakta dan kronologi kejadian. Mungkin fakta dikemukakan membuatkan dirinya rasa aib.
“Beliau boleh mengambil tindakan saman, jikalau bukti yang kami sertakan dalam empat video itu tidak benar,” katanya.
Loh memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada 25 Mac lalu untuk memohon pengisytiharan tindakan bekas suaminya menukar agama tiga anaknya di bawah umur kepada Islam adalah tidak sah.
Beliau juga memohon pengisytiharan peruntukan dalam enakmen Perlis yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama anak di bawah umur mereka secara unilateral sebagai tidak berperlembagaan.
Loh juga mahu pengisytiharan bahawa anak-anaknya beragama Hindu dan perintah membatalkan pengislaman mereka yang dibuat pada 7 Julai 2020 oleh pendaftar mualaf di Perlis.
Loh mendapat hak penjagaan tiga anaknya itu daripada pihak berkuasa agama Perlis pada Februari lalu susulan perintah mahkamah.