Rakyat Malaysia mahu 3 anak, keluarga lebih besar, menurut tinjauan

Rakyat Malaysia mahu 3 anak, keluarga lebih besar, menurut tinjauan

Sebanyak 26% daripada rakyat Malaysia menjadikan pandemik dan kemelesetan ekonomi sebagai faktor utama yang mempengaruhi pertimbangan mereka.

Hanya 13% pasangan Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai kerjaya mereka sebagai faktor untuk tidak mempunyai anak.
PETALING JAYA:
Di sebalik cabaran membesarkan anak-anak, satu tinjauan menunjukkan rakyat Malaysia masih berhasrat mempunyai keluarga lebih besar berbanding penduduk di negara lain.

Tinjauan yang dilakukan badan penyelidikan antarabangsa, Ipsos mendapati kebanyakan keluarga Malaysia mahukan sekurang-kurangnya tiga anak berbanding hanya dua anak dalam kalangan pasangan di timur laut Asia dan Singapura.

Ketua Hal Ehwal Awam Ipsos Malaysia, Wan Nuraidiah Wan Mohd Rani berkata, jumlah itu “jauh lebih tinggi” berbanding kebanyakan negara lain.

Secara purata, bilangan anak yang ideal bagi pasangan Malaysia ialah 3.2, menyusul Arab Saudi yang mempunyai purata 3.6 anak. Purata global ialah 2.3 anak.

Sebaliknya, pasangan di China dan Korea Selatan menunjukkan keinginan paling rendah untuk memperoleh anak, dengan purata 1.9, manakala Britain dan Jepun lebih tinggi sedikit dengan purata 2.1, yang bersamaan kadar penggantian.

Seramai 20,524 orang dewasa yang berusia 16 hingga 74 tahun dari 30 negara, menjawab soalan secara dalam talian. Hampir 500 daripadanya berasal dari Malaysia.

Bagi pasangan yang tidak mahu mempunyai anak, atau lebih ramai anak jika mereka sudah mempunyai seorang atau dua anak, Covid-19 menjadi faktor utama dalam proses membuat keputusan berkenaan.

Sebanyak 26% daripada rakyat Malaysia menjadikan pandemik dan kemelesetan ekonomi sebagai faktor utama yang mempengaruhi pertimbangan mereka. Di peringkat global, hanya 11% pasangan yang menjadikannya faktor itu sebagai alasan.

Hanya 13% pasangan Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai kerjaya mereka sebagai faktor tidak mempunyai anak, manakala 9% mengambil kira keperluan kerjaya pasangan mereka apabila melakukan keputusan sedemikian.

Ini berbanding purata global masing-masing 6% dan 5%.

“Keputusan untuk mempunyai anak sambil membina kerjaya sering dilihat sebagai satu pertukaran, terutamanya bagi golongan wanita.

“Walaupun tanggungjawab menjaga anak dijangka memberi lebih banyak kesan buruk kepada kerjaya wanita, ia tidak berat sebelah sepenuhnya. Ramai rakyat Malaysia menganggapnya sebagai cabaran yang turut dihadapi golongan lelaki.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.