Menteri, timbalan tak boleh campuri keputusan MKI, titah sultan

Menteri, timbalan tak boleh campuri keputusan MKI, titah sultan

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, Jakim juga dilarang mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam atau Jawatankuasa Muzakarah, oleh itu mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Baginda yang juga pengerusi MKI dalam kenyataan hari ini bertitah, sebarang kenyataan berhubung keputusan jawatankuasa itu di bawah bidang kuasa pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-raja.

Sultan Sharafuddin bertitah Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Sehubungan itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan Jawatankuasa Muzakarah.

“Untuk makluman, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, hanya pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-raja untuk diperkenankan.

“Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri,” titah baginda.

Berhubung isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqgani, Sultan Sharafuddin bertitah keputusan muzakarah telah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-raja pada 4 Jan 2021.

“Butiran penuh kepada keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan pengerusi Jawatankuasa Muzakarah semalam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.