Nurul Izzah tak tanding pemilihan PKR, mahu fokus tarik pengundi atas pagar

Nurul Izzah tak tanding pemilihan PKR, mahu fokus tarik pengundi atas pagar

Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan.

Pada 2018 Nurul Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak akan bertanding bagi merebut enam jawatan tertinggi dalam pemilihan PKR kali ini.

Bekas naib presiden PKR yang melepaskan jawatannya pada 17 Dis 2018 itu berkata, walaupun tidak bertanding merebut sebarang jawatan dalam pemilihan parti kali ini, beliau akan memberi tumpuan membantu parti menarik pengundi atas pagar.

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti serta perjuangan yang kita kasihi – saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.

Tonton video di sini.

“Meski saya tidak terlihat dalam pesta demokrasi parti, saya tetap mendokong rakan-rakan yang bertanding dengan penuh semangat setiakawan. Moga-moga PKR mampu membidani satu lapisan kepimpinan yang gah dan komited.

“Berikan saya ruang untuk memacu gerakan Ayuh Malaysia sepenuhnya. Titik pertemuannya adalah kejayaan kita meraih semula keyakinan rakyat yang telah banyak berkorban menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara,” katanya di Facebook.

Beliau turut mengulangi keputusannya meletak jawatan pada 2018 antara lain kerana kecewa dengan pengkhianatan dalaman yang berlaku dalam PKR.

“Suara hati saya tuntas melahirkan penolakan kepada bahang khianat yang jelas dirasai sebelum penggulingan kerajaan yang dipilih rakyat berlaku,” katanya merujuk kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan mentadbir Putrajaya susulan beberapa wakil rakyat termasuk daripada PKR yang menarik sokongan dan keluar parti.

“Peletakan jawatan tersebut bukanlah titik noktah akhir perjuangan di dalam parti. Sebaliknya ia merupakan langkah introspeksi mengingatkan semua, termasuk diri saya sendiri tentang kepentingan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita, serta kepimpinan parti kepada perjuangan asal reformasi,” katanya.

Pada 2018 Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.