
R Muthusamy daripada Embun Karisma Resources menuntut ganti rugi berjumlah RM60 juta dalam saman yang difailkan oleh firma guaman GK Sritharan & Co di Mahkamah Tinggi di Johor Bahru pada Selasa.
Dalam saman pertama, Muthusamy mendakwa bahawa Hall menghantar e-mel pada 6 Jan kepada tidak kurang daripada 40 individu, termasuk syarikat, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menuduhnya “merasuah” Hall dengan tawaran perundingan di ATA, iaitu sebuah syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik terkemuka .
Menerusi e-mel itu katanya, Hall mendakwa bahawa Muthusamy telah bertanya tentang “jumlah kos untuk membayar atau membuatkan Andy Hall senyap”.
Muthusamy berkata, dia menghantar surat tuntutan kepada Hall pada 14 Feb, tetapi Hall membuat satu lagi kenyataan berunsur fitnah bertajuk “See you in court: Hall dares libel claimant in Dyson force labour controversy” yang diterbitkan dalam Focus Malaysia pada 17 Feb.
Dia turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dia juga memohon injunksi untuk menghalang Hall atau ejennya daripada mengulangi dan menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.
Muthusamy turut meminta Hall membuat permohonan maaf dan menulis e-mel kepada 40 penerima untuk menyatakan kekesalan kerana “menghantar surat yang berniat jahat dan tidak benar” sekiranya mahkamah memutuskan memihak kepadanya.
Sekiranya menang, dia juga mahu Hall menerbitkan dalam akhbar dan platform media sosial lain bahawa dia didapati bertanggungjawab kerana membuat kenyataan palsu dan berniat jahat terhadapnya.
Dia mahu relif yang sama daripada saman kedua itu.
Dalam saman itu, Muthusamy berkata, kenyataan berunsur fitnah dalam e-mel dan laporan Focus Malaysia adalah palsu dan tanpa merit.
Katanya, perkataan yang digunakan adalah bersifat “sensasi, skandal, menyinggung perasaan dan berniat jahat untuk memberi imej buruk”, dan menggambarkan dia sebagai “melibatkan diri antara lain dalam aktiviti haram dan jenayah” dan merosakkan reputasinya di dalam dan luar negara.
Peguam GK Sritharan memberitahu FMT bahawa salinan dokumen mahkamah telah dihantar kepada peguam Hall semalam.