Hakim ingatkan orang awam tidak buat kenyataan kes Bella

Hakim ingatkan orang awam tidak buat kenyataan kes Bella

Ini kerana kes masih berjalan dan tertuduh belum didapati bersalah selain saksi pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hakim Mahkamah Sesyen hari ini mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen di media sosial berhubung perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella.

Izralizam Sanusi yang mendengar perbicaraan kes itu berkata, beliau akur semua rakyat mempunyai hak untuk bersuara, namun terdapat undang-undang yang boleh dikenakan terhadap individu yang melampaui batas dalam penulisan, hantaran, komen dan lain-lain di media sosial.

“Mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang awam terutama yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya perkara tersebut berlaku, saya percaya pihak yang mempunyai kuasa untuk mendakwa iaitu pihak pendakwaan boleh mengambil tindakan sewajarnya dengan merujuk kepada individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran kerana jelas melanggar undang-undang menghina mahkamah dan subjudis,” katanya.

Izralizam berkata, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh (Siti Bainun) juga belum didapati bersalah malah saksi pendakwaan kelima (SP5), Yasmin Nahar Mahmood masih belum selesai memberi keterangan.

“Jangan melampau atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika manakala pendakwaan dan orang awam juga tertakluk pada undang-undang.

“Masih jauh lagi perjalanan kes ini dan SP5 masih dalam pemeriksaan balas, jadi simpan komen-komen yang berbentuk ‘contempt’ (menghina), subjudis atau memfitnah untuk diri sendiri, jangan disebarkan bertujuan mendapat followers (pengikut) dan sebagainya tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” kata hakim.

Izralizam berkata, mahkamah perlu mengingatkan kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan yang menghina mahkamah dan fitnah yang dianggap melanggar undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jangan membuat komen yang mengganggu saksi, saksi pula tidak sihat, ditambah dengan komen seumpama itu. Buat masa ini saya tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya yang turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dokumen di laman media sosial yang memperjudiskan kes ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah bahawa terdapat komen di laman media sosial yang dibuat oleh orang awam berhubung kes tersebut.

“Saya memohon mahkamah untuk memberi amaran kepada orang awam supaya tidak buat hantaran yang boleh memprejudiskan kes ini,” katanya.

Peguam pemerhati dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Baljit Singh Sidhu memberitahu mahkamah bahawa hantaran tersebut turut membabitkan pihak terlibat dalam perbicaraan.

Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung 30 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.