Integrasikan Rohingya ke dalam masyarakat tempatan, Putrajaya diberitahu

Integrasikan Rohingya ke dalam masyarakat tempatan, Putrajaya diberitahu

Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) berkata ini boleh mengelakkan ketegangan dan pelarian itu boleh memenuhi permintaan tenaga buruh.

Pelarian Rohingya seperti kumpulan yang melarikan diri dari depoh imigresen di Kedah pada Rabu lalu, boleh memenuhi permintaan tenaga sumber manusia di negara ini, kata Teh Sue Ann.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan Parlimen bukan partisan menggesa Putrajaya berusaha ke arah mengintegrasikan pelarian Rohingya ke dalam masyarakat tempatan.

Jurucakap Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Matlamat Pembangunan Lestari berkata, integrasi itu boleh mengelakkan salah faham dan ketegangan.

Eksekutif sekretariat kumpulan itu, Teo Sue Ann berkata, “kita pada dasarnya boleh mengekalkan keseimbangan dan keamanan” selagi Rohingya kekal di negara ini dan jika terdapat usaha untuk membangunkan “pemahaman tentang budaya dan nilai satu sama lain”.

Tonton video di sini.

Katanya, memberikan kebenaran kepada mereka untuk bekerja di Malaysia adalah demi kepentingan kerajaan memandangkan ramai di kalangan mereka masih muda dan kuat, sekali gus akan menjadi tenaga buruh yang berdaya maju.

“Terdapat permintaan pasaran untuk sumber tenaga manusia di negara ini yang boleh dipenuhi oleh pelarian Rohingya,” katanya kepada FMT.

Teo berkata, mengiktiraf hak asasi asasi pelarian akan membantu negara mencapai pembangunan mampan. Hak-hak ini termasuk pendidikan asas untuk kanak-kanak, kebebasan mobiliti, perlindungan sosial dan perlindungan bersalin.

“Malangnya, ramai pelarian masih menghadapi permusuhan daripada polis dan pegawai penguat kuasa ketika berjalan di jalanan. Selain itu, ramai wanita hamil tidak mampu melahirkan bayi mereka di hospital kerana kos perubatan yang mahal,” katanya.

Pada Rabu, seramai 528 warga Rohingya dilaporkan melarikan diri dari depoh imigresen sementara di Bandar Baharu, Kedah. Terdapat seramai 664 tahanan di pusat terbabit pada ketika itu.

Setakat semalam, polis berjaya menahan semula seramai 417 daripada mereka. Enam terbunuh pada Rabu ketika melintasi lebuh raya.

‘Tiada pengawasan di pusat imigresen’

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara Selatan Adrian Pereira mendakwa bahawa tiada pengawasan terhadap pusat tahanan imigresen.

“Kita tidak tahu keadaan di pusat ini dan berdasarkan sesi soal jawab di Parlimen sebelum ini, terdapat petunjuk bahawa kematian di pusat tahanan imigresen adalah tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.