‘Khemah besar’ PH/PN pandangan peribadi Salahuddin, bukan keputusan PH, kata DAP

‘Khemah besar’ PH/PN pandangan peribadi Salahuddin, bukan keputusan PH, kata DAP

Tidak timbul kerjasama dengan PN pada pilihan raya umum akan datang kerana konsep 'khemah besar' dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang.

Anthony Loke berkata, semua pihak dalam PH perlu menyedari bahawa kerjasama dengan PN amat sukar dijalin berikutan latar belakang sejarah hitam yang pernah dilalui PH dengan parti komponen dalam PN.
PETALING JAYA:
DAP menyifatkan cadangan khemah besar antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) adalah pandangan peribadi Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, bukan diputuskan oleh Majlis Presiden gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, segala keputusan mengenai hala tuju dan kerjasama di luar kerangka PH mesti diputuskan secara bersama oleh Majlis Presiden PH.

Menurutnya, tidak timbul kerjasama dengan PN pada pilihan raya umum akan datang kerana komponen itu adalah sebahagian daripada blok kerajaan manakala konsep “khemah besar” yang dipersetujui dalam resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang.

Tonton video di sini.

“Semua pihak dalam PH perlu menyedari bahawa adalah amat sukar kerjasama dengan PN dapat dijalin dengan latar belakang sejarah hitam yang pernah kami lalui dengan parti komponen dalam PN.

“Saya menyeru semua pimpinan dalam PH supaya membincangkan sebarang pandangan berkenaan kerjasama politik dengan pihak lain dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, bukannya melalui kenyataan terbuka untuk memastikan tidak ada kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong kita,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Salahuddin menggesa kepimpinan PH agar tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, langkah kerjasama dalam inisiatif khemah besar itu penting bagi memastikan blok pembangkang dapat berdepan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu.

Bagaimanapun, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegaskan pendekatan khemah besar tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti kerajaan sama ada Umno, Bersatu atau PAS.

Sebaliknya menurut Mohamad, khemah besar yang dimaksudkan adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Kenyataan itu senada dengan DAP yang kekal menutup pintu kerjasama dengan Bersatu dan PAS selepas tidak mempercayai kepimpinan kedua-duanya yang didakwa bersikap tikam belakang dan berdolak-dalik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.